Tuesday, July 22, 2008

Saiful Bukan Gay?

Saiful bukan gay, bapa Saiful mahu Anwar jalani ujian DNA

KUALA LUMPUR: Mangsa dakwaan liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Mohd Saiful Bukhari Azlan bukan seorang gay.

Demikian kenyataan peguamnya, Zamri Idrus ketika ditanya adakah Saiful seorang yang mengamalkan homoseks atau gay.

Sementara itu, ayah Saiful, Azlan Mohd Lazim mahu Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil memberi sampel DNA bagi melengkapkan siasatan polis.

Beliau berkata, Anwar sudah terlalu banyak memberi alasan dan berdolak-dalik berhubung siasatan dalam kes terbabit.

"Demi membela Mohd Saiful yang menjadi mangsa bekas majikannya, saya dan keluarga menuntut dengan setegas-tegasnya kepada individu terbabit (Anwar) supaya memberikan kerjasama sepenuhnya dalam penyiasatan polis," katanya.

Azlan turut menggesa Anwar tampil memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membantu siasatan terutamanya berhubung ujian DNA.

Jelas beliau, anaknya telah tampil kerana yakin terhadap kebenaran.

Kata Azlan, Saiful telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Perkara tersebut terkandung dalam kenyataan lima perenggan Azlan yang dibacakan oleh peguam Saiful, Zamri Idrus pada sidang media di sini hari ini.

Azlan turut mempertahankan laporan polis yang Saiful diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada 26 Jun lalu.

Azlan turut melahirkan rasa sedih anaknya, Mohd Saiful dilakukan sedemikian oleh Anwar.

"Saiful berkali-kali menyebut kepada saya dan keluarga kami bahawa bertindak begini kerana kebenaran dan kepada Allah s.w.t supaya menunjukkan kebenaran itu.

"Yang penting saya dan keluarga memohon kepada pihak berwajib membawa individu yang terlibat ke muka pengadilan secepat mungkin," katanya.

Azlan yang menandatangani kenyataan media tersebut turut menyatakan kesediaan Saiful untuk bersumpah menurut cara Islam yang sebenar-benarnya.

"Saiful bersedia bersumpah di masjid dengan disaksikan para ulama demi membuktikkan kebenaran bahawa beliau diliwat seperti yang dilaporkannya kepada polis," katanya.

Ketika ditanya bila Saiful akan bersumpah di masjid seperti yang dinyatakan, peguam Saiful berkata, semuanya bergantung siasatan kepada polis.

"Kita tidak dapat memberikan tarikhnya sekarang, semuanya bergantung kepada siasatan polis," kata Zamri yang dilantik mewakili Saiful jika kes tersebut di bawa ke mahkamah.

Dalam pada itu, Zamri berkata, ayah Saiful tidak dapat hadir dalam sidang media itu kerana beliau mempunyai hal lain.

Zamri menegaskan, beliau telah melihat laporan polis yang telah dibuat oleh Saiful pada 26 Jun lalu.

"Ya, saya telah melihat laporan polis yang dibuat oleh Saiful," tegasnya yang enggan mendedahkan kandungannya.

Ketika ditanya sama ada beliau yakin adanya kes terhadap dakwaan yang dibuat oleh Saiful terhadap Anwar, beliau memberitahu:

"Saiful adalah anak guam saya dan berdasarkan keterangannya kepada saya yakin kepada beliau (Saiful). Namun semuanya bergantung kepada siasatan polis."

Beliau enggan mengulas lanjut kerana bimbang ia akan mengganggu siasatan pihak polis.

Ditanya mengenai bila kali terakhir menemui Saiful, Zamri berkata

"Saya menemuinya beberapa hari yang lalu. Dia sihat," katanya.

Zamri turut menafikan dakwaan terhadap teori konspirasi sesetengah pihak bahawa Saiful dibayar oleh pihak tertentu untuk membuat laporan polis.

Beliau menegaskan, perkara tersebut adalah tidak benar dan tidak pernah dinyatakan kepadanya.

Ketika ditanya mengenai hubungan Mohd Saiful dengan kenalan baiknya Rahimi Osman dan bekas pemimpin kanan PKR Mohamad Ezam Mohd Nor dengan seorang pemimpin negara, Zamri menjelaskan:

"Tidak, tidak... perkara ini biarlah pihak polis lakukan siasatan dahulu."

Beliau turut menyatakan Saiful berada dalam keadaan selamat dan polis hanya memberi perlindungan keselamatan kepadanya.

Dalam pada itu, bapa saudara Saiful yang dikenali sebagai 'Uncle Pet' turut hadir dalam sidang akhbar tersebut.

Beliau melahirkan keyakinan terhadap laporan polis yang dibuat anak saudaranya Jun lalu.

"Saya kenal anak saudara saya (Saiful). Saya yakin kepadanya dan tahu dia tidak berbohong," katanya.

No comments: